16 Apr 2010

Aplikasi Sulaman Fabrik

Pembaca yang dihormati,

Keluaran kali ini kami ingin berkongsi kepada anda beberapa aktiviti yang dijalankan oleh ADTEC melalui aplikasi sulaman fabrik (Embroidery).

Embroidery atau teknik sulaman fabrik adalah salah satu teknik dekorasi hiasan pada fabrik yang dipercayai bermula seawal zaman dinasti Zhou, di China. Teknik yang bermula  dengan berasaskan fabrik, benang, jarum dan alat menegang fabrik yang diusahakan secara manual kini telah diautomasikan seiring dengan perkembangan teknologi-teknologi masa kini. Era kehalusan hasil sulaman tangan semakin tenggelam dek zaman namun, hasil kualiti sulaman mesin dari masa ke semasa terus diperbaiki teknologinya dalam usaha menandingi teknik sulaman tangan.

Terdapat bermacam-macam jenis tusukan sulaman (stiches) antaranya "satin stich", "Steil stich", "Run stich" dan bermacam lagi mengikut kreativiti pereka fesyen. Melalui teknologi masa kini, proses penghasilan sulaman fabrik kini menjadi lebih mudah iaitu bermula dengan merekabentuk menggunakan software khas kemudian memindahkan fail applikasinya kepada mesin sulam dan seterusnya proses sulaman dilakukan secara automasi oleh mesin. Apa yang perlu pada seseorang pereka adalah pengetahuan tentang penggunaan software serta sedikit pengetahuan mengenai operasi mesin.

Sulaman fabrik (embroidery) kini bukan sahaja menjadi hobi seperti masa lalu, tetapi teknologi pantas dalam penghasilannya telah memberi ruang kepada sesiapa yang berminat dalam menceburi bidang perniagaan. Samaada perniagaan berbentuk jualan hasil sulaman seperti pakaian mahupun jualan cendermata seperti sapu tangan dan tualan, malah perniagaan berbentuk atas talian (online) yang berjalan secara maya juga telah dilakukan seperti jualan fail-fail rekabentuk melalu laman sesawang. Teknologi sulaman embroidery ini juga diperluaskan cara penggunaannya melalui kursus-kursus yang ditawarkan oleh sesetengah syarikat pengeluar mahupun institusi-institusi pendidikan.

Penyelidikan demi penyelidikan telah dibuat melalui applikasi sulaman fabrik dimana ianya bukan hanya tertumpu kepada dekorasi semata-mata namun kekuatan hasil sulaman menggunakan benang sintatik serta campuran lain telah mencetuskan banyak penemuan baru dalam teknologi selain tekstil seperti teknologi komposit didalam pembangunan alat atau pakaian perlindungan, teknologi nano didalam pembangunan kekuatan bahan dan sebagainya. Melalui kaedah lapisan sulaman, penyelidikan membuktikan kekuatan bahan dapat ditingkatkan dan kaedah penghasilannya berkonsepkan teknik sulaman embroidery.

Di ADTEC, kami juga ada menjalankan aktiviti penghasilan dekorasi sulaman embroidery hasil daripada produk siap seperti t-shirt, jaket, topi dan lain-lain sebagai sumber penjanaan pendapatan Universiti. Bermula dengan rekabentuk paten atau corak yang diinginkan oleh pelanggan, proses merekabentuk menggunakan software Tajima by Pulse kami lakukan. Proses penghantaran aplikasi software ke mesin dilakukan selepas pihak pelanggan berpuas hati dengan rekabentuk yang kami hasilkan. Sudah pasti harga yang terendah diberikan kepada pelanggan serta kualiti yang baik dititikberatkan didalam perkhidmatan kami.

Selain perkhidmatan penghasilan produk siap, kami juga menyedikan kursus-kursus pendek berkaitan penggunaan software embroidery serta pengetahuan asas penggunaan mesin sulaman. Kursus yang kebiasaannya dijalankan dengan bilangan peserta yang kecil akan mengambil masa 3 hari untuk memastikan peserta mencapai objektif kursus dimana peserta mampu untuk mengendalikan mesin serta berkebolehan merekabentuk menggunakan software. Peserta kursus akan didedahkan dengan penggunaan software secara praktikal oleh pelatih melalui latihan yang diberikan didalam kursus serta modul ringkas kursus yang disedikan.

Kepada pembaca yang berminat didalam perkhidmatan melalui teknologi sulaman ini, sila berhubung dengan pihak K-Utech Sdn. Bhd. atau boleh berhubung terus dengan wakil ADTEC, FKMP.

Sekian, terima kasih.